Bernama: Sistem Sokongan Sosial Penting ke Arah ‘Negara Gembira’

Sistem Sokongan Sosial Penting ke Arah ‘Negara Gembira’

28 August 2018

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) — Malaysia memerlukan satu kajian semula dasar sebagai persediaan awal menyediakan sistem sokongan sosial yang lebih baik dalam menghadapi status negara menua, kata seorang ahli akademik.

Ini kerana jumlah rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas dijangka mencapai 3.5 juta pada tahun 2020 dan 6.3 juta pada 2040, iaitu kira-kira 20 peratus daripada jumlah penduduk.

Demikian menurut artikel bertajuk ‘Penuaan dan Persaraan: Persepsi dan Harapan di kalangan rakyat Malaysia’ yang ditulis oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, Prof Datuk Norma Mansor.

Artikel SWRC yang diterbitkan dalam buku kecil yang dikeluarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu mencadangkan dengan jangka hayat penduduk yang semakin panjang, rakyat Malaysia bakal mempunyai sekurang-kurangnya 15 tahun lagi untuk hidup selepas bersara.

Katanya, rakyat Malaysia akan banyak bergantung kepada tabungan, pencen dan sumbangan KWSP sebagai punca rezeki pada tahun-tahun senja mereka.

SWRC menerima tajaan KWSP dalam menerajui usaha penyelidikan sistem perlindungan sosial untuk rakyat Malaysia.

Dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini, Norma berkata negara memerlukan sistem sokongan berstruktur dan stabil yang dapat menggalakkan kesejahteraan sosial dan keceriaan.

“Perubahan dalam dasar harus membawa kepada pencapaian ‘negara paling gembira’ (happy nation), suatu istilah yang dicipta oleh kumpulan penyelidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diketuai oleh profesor Amerika, Jeffrey Sachs, ketika membuat kajian pembangunan lestari.

“Ia merangkumi kajian perasaan mengenai kebebasan, indeks rasuah dan isu tadbir urus dalam negara. Ia adalah satu konsep untuk digunakan kerajaan bagi meningkat dan memperbaiki dasar ekonomi dan sosial sedia ada, serta untuk membangun sistem sokongan yang diperlukan untuk rakyat hidup bahagia ketika mereka meningkat usia,” kata Norma.

Malaysia berada di kedudukan ke-35 negara paling gembira di dunia, menurut Laporan Gembira Dunia tahun ini, satu tangga di belakang Singapura yang berada di kedudukan ke-34.

Norma berkata caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) yang diumumkan baru-baru ini adalah langkah ke arah yang betul kerana ia menggalakkan suasana inklusif.

“Untuk mengubahnya menjadi perlindungan sosial yang komprehensif, polisi baharu tersebut boleh mempertimbangkan untuk melindungi ibu hamil dari keluarga yang kurang mampu.

“Saya percaya kerajaan baru perlu diberi masa yang mencukupi untuk mengkaji semula polisi yang ada berbanding permasalahan fiskal,” kata Norma.

Norma menekankan walaupun kerajaan bertanggungjawab terhadap reka bentuk dan pelaksanaan dasar, tanggungjawab untuk mengubah perubahan sosial turut terletak pada individu dan pihak majikan.

“Cabaran yang dihadapi adalah pemetaan dasar sedia ada dan melihat apa yang kurang (dalam usaha) untuk menanda arasnya dengan piawaian sejagat,” katanya.

Links:

http://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1636809

http://www.sinarharian.com.my/nasional/sistem-sokongan-sosial-kearah-negara-gembira-1.873211